Khilafiyah Para U'lama Adalah Rahmat

(i) 12 Dalil Mengapa Kita Bermadzhab

Artikel ini adalah sebagai hujah untuk menguatkan pendapat dibolehkannya kita bermazhab dalam Fiqh dan juga sebagai jawaban bagi orang2 yang merasa tidak perlu atau menolak mazhab. Berikut setidaknya 12 dalil kita dibolehkan bermazhab atau mengikut salah satu daripada empat mazhab yang muktabar iaitu Mazhab Syafi’i,  Maliki, Hanafi dan Hambali. Antaranya:

muwatta_full1

DALIL PERTAMA:

Memang sudah ada isyarat daripada Hadis Rasulullah:

Sebaik-baik manusia ialah yang berada di kurun aku, kemudian mereka yang selepas kurun itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itu pula. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW menyebut bahawa umat Islam sekitar tiga kurun itu secara majoritinya adalah baik-baik, soleh-soleh bahkan sebahagian daripadanya bertaraf muqarrobin. Mereka inilah yang dikatakan salafussoleh (orang soleh zaman dahulu). Manakala umat Islam selepas 300 tahun itu hinggalah ke zaman kita ini dikatakan khalputtoleh (orang-orang jahat yang kemudian). Ertinya umat Islam selepas 300 tahun itu secara majoritinya jahat-jahat; yang baik-baik terlalu sedikit.

Manakala keempat-empat Imam Mazhab tersebut hidup  pada sekitar tiga kurun selepas Rasulullah SAW. Imam Hanafi dan Imam Malik hidup pada kurun yang pertama lagi; masing-masing lahir pada tahun 80 dan 93 Hijrah. Sementara Imam Syafi’i (lahir 150 Hijrah) dan Imam Hambali (lahir 164 Hijrah) berada pada akhir kurun kedua sehingga kurun yang ketiga. Sedangkan menurut Hadis tadi, secara umum umat Islam sekitar tiga kurun itulah yang patut menjadi ikutan kita. Sunnah mereka, tradisi mereka, kebudayaan mereka dan lainlain menjadi ikutan kita. Betapalah pula Imam-Imam Mazhab yang telah disebutkan tadi. Mereka bukan sahaja ulama pilihan di kalangan para ulama di zaman itu, tetapi mereka juga merupakan ulama yang soleh, warak, kuat beribadah, tegas memegang hukum, bebas (tidak makan gaji atau terikat dengan tugas rasmi). Bahkan mereka menjadi ikutan para ulama dan orang-orang awam dari zaman tersebut hingga ke hari ini. Maka lebih-lebih patut dan lojik mereka itu menjadi ikutan kita.

DALIL KEDUA:

Jangan pula menganggap bahawa bila seseorang mengikut salah satu daripada empat mazhab tadi, maka dia tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Kerana keempat-empat Imam Mazhab tersebut telah pun mengikut Al Quran dan Hadis. Mereka mengistinbatkan hukum atau mengeluarkan hukum daripada Al Quran dan Hadis. Ini memberi erti mereka mengikut Al Quran dan Hadis. Oleh itu kita tidak boleh menganggap imam-imam tersebut tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Jangan pula kita anggap mereka mengeluarkan hukum hanya berdasarkan fikiran mereka semata-mata.

Buktinya, Imam Malik di samping merujuk pada Al Quran, beliau juga mempunyai sebuah kitab Hadis yang bernama Al Muwaththa’. Kitab ini merupakan kitab Hadis yang pertama, lebih dahulu daripada Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab Hadis yang lain. Ia mengandungi lebih 10,000 buah Hadis. Oleh yang demikian bila Imam Malik mengeluarkan hukum ataupun fatwa, di samping merujuk kepada AI Quran , dia juga merujuk Hadis-Hadis dalam kitab Al Muwaththa’nya itu. Mana boleh dikatakan Imam Malik tidak mengikut Hadis. Ini satu tuduhan yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada seorang ulama besar. Bahkan mengikut riwayat, Imam Syafi’i pernah membuat pengakuan yang beliau telah pun menghafal kitab tersebut sebelum berguru dengan Imam Malik. Apabila bertemu, Imam Malik terkejut, lantas menyuruh Imam Syafi’i membaca dari awal hingga ke akhir tanpa melihat kitabnya.

Imam Hanafi juga ada mempunyai kitab Hadis yang bernama Al Wasif. Bila Imam Hanafi diminta mengeluarkan hukum atau memberi fatwa, beliau berfatwa berdasarkan Al Quran dan Hadis yang ada dalam kitab Al Wasif. Imam Syafi’i pula terkenal dengan kitab Al Umm, yang ditulis oleh murid kanannya yang bernama Ar Rabi’. Oleh itu Imam Syafi’I mengistinbatkan hukum, selain daripada Al Quran, juga daripada Hadis yang terdapat dalam Al Umm. Begitu juga dengan Imam Hambali (Ahmad bin Hambal). Beliau mempunyai kitab Hadis yang terkenal dengan Al Musnad. Tak kurang daripada 35,000 Hadis terkandung di dalamnya.

Di sini nyatalah keempat-empat Imam Mazhab ini, apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Kalau ada orang-orang di belakang termasuk kita, mengikut salah satu daripada Imam-Imam Mazhab itu, ertinya mengikut orang yang telah mengikut Al Quran dan Hadis. Tidak boleh dikatakan mengikut mana-mana mazhab ini tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Cuma orang-orang yang bertaqlid macam kita ini tidak tahu ayat Quran mana yang dipakai oleh mereka atau Hadis mana digunakan oleh mereka. Kerana kita ini adalah muqallidi atau pengikut. Tetapi mereka tahu nas yang mana mereka gunakan sama ada dari Al Quran atau Sunnah Rasulullah SAW.

DALIL KETIGA:

ALLAH telah mengisyaratkan kepada kita melalui Al Quranul Karim, kalau kita tidak tahu kerana kita bukan orang alim, kena bertanya kepada orang yang tahu atau yang alim. Ertinya pandangan-pandangan orang alim itu eloklah menjadi pegangan dan ikutan kita. Kerana mereka lebih tahu daripada kita. Firman ALLAH:

Bertanyalah kepada ahli ilmu (alim ulama; orang yang tahu) kalau kamu tidak mengetahui. (An Nahl: 43)

Imam-imam yang empat tadi patut menjadi ikutan kita. Dan patut pula kita tanyakan fatwa-fatwa mereka. Kalau mereka sudah tiada lagi, ada kitab-kitab yang ditinggalkan oleh mereka. Bahkan kitab-kitab mereka itu telah pun dihurai dan dijelaskan lagi oleh ulama-ulama di belakang mereka. Kalau kita ikut mana-mana mazhab yang empat itu, bererti kita tidak terkeluar daripada apa yang dianjurkan oleh ALLAH dan Rasul.

DALIL KEEMPAT:

Banyak orang tidak sedar pembuku-pembuku Hadis atau perawi-perawi Hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tarmizi dan lain-lain lagi, walaupun mereka mengumpulkan dan menilai Hadis tetapi dari segi kefahaman atau dalam mengeluarkan hukum, mereka juga bersandar dengan Imam-Imam Mazhab. Walaupun Hadis ada di hadapan mereka tetapi mereka tetap mengikut dan berpegang dengan kefahaman yang ada pada Imam Mazhab terutamanya Imam Syafi’i. Umpamanya Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tarmizi adalah bermazhab Syafi’i.

Kalaulah Imam-Imam Hadis itu pun mengikut Imam Syafi’i, siapakah kita ini sekiranya tidak mahu mengikut imam mana-mana mazhab seperti Mazhab Syafi’i? Jangan pula asalkan bertemu Hadis kita sangka sudah ikut Hadis. Untuk  mengeluarkan hukum, mampukah kita? Sedangkan Imam- Imam Hadis itu pun menyandarkan kefahaman mereka kepada Imam-Imam Mazhab. Padahal kebanyakan mereka itu hidup pada sekitar 300 tahun daripada Rasulullah SAW serta menjadi ikutan sebahagian ulama dan orang awam di waktu itu.

DALIL KELIMA:

Kalaulah imam-imam seperti Imam Bukhari, Imam Muslim yang terkenal kewarakannya, Hadis-Hadis mereka menjadi sandaran orang-orang kemudian, juga mengikut mazhab, maka tidak hairanlah ulama-ulama besar selepas 300 tahun mengikut salah satu daripada mazhab-mazhab yang empat itu tadi. Abu Hassan Al Asyaari – mujaddid kurun ketiga, penyusun kaedah kitab usuluddin, bermazhab Syafi’i; Imam Al Ghazali, ulama besar dan mujaddid kurun kelima yang terkenal dengan kitab Ihya Ulumiddin, juga bermazhab Syafi’i; Imam Sayuti – mujaddid kurun kesembilan, Syeikh Ibnu Hajar, Syeikh Ramli, Imam Subki, Syeikh Zakaria Ansori, Imam Nawawi, Imam Sya’rani juga bermazhab Syafi’i. Walaupun mereka ini semuanya bertaraf mujtahidin, mempunyai kitab-kitab yang besar dan layak berijtihad, namun mereka juga bermazhab.

DALIL KEENAM:

Ada keterangan dari Hadis Rasulullah SAW:

Sesungguhnya ALLAH Azza Wajalla tidak akan mencabut ilmu dari seseorang manusia selepas diberikan kepadanya. Akan tetapi dicabut (ilmu itu dengan dimatikan para ulama. Setiap kali matinya ulama ikutlah ilmu itu bersamanya sehinggalah (satu ketika tiada lagi ulama) kecuali pemimpin (ulama) yang jahil. Jika ditanya hukum, mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu, mereka sesat lalu menyesatkan orang lain. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi:

Tidaklah datang satu tahun atau hari kepada kamu melainkan hari yang selepasnya itu lebih buruk dari sebelumnya sehingalah kamu semua bertemu ALLAH. (Riwayat Al Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah)

Yang dimaksudkan di sini ialah ilmu agama, bukan ilmu dunia. Kurangnya ilmu itu oleh kerana para ulama ramai yang dimatikan. Kalau ada pun para mama, mereka sudah tidak berminat lagi untuk memperdalamkan ilmunya. Para ulama rasmi sudah seronok makan gaji dan ulama swasta pula sibuk dengan hidup. Selepas dapat degri, mereka tidak mengkaji dan membaca lagi lebih-lebih lagi bila makan gaji. Akhirnya tinggallah orang-orang jahil dibandingkan mereka tadi yang dianggap ulama oleh masyarakat. Mungkin juga mereka dianggap ulama kerana sudah tidak ada lagi ulama di masa itu. Bila tidak ada, maka belalang pun dianggap helang.

Ada juga isyarat Hadis yang lain bahawa di akhir zaman nanti akan berlaku ilmu Islam semakin habis walaupun ilmu dunia semakin berkembang. Begitu juga akan berlaku, mubaligh- mubaligh ramai, ulamanya sedikit. Lebih-lebih lagi sukar hendak mencari guru yang mursyid.

Oleh itu orang yang dipanggil ulama pada akhir zaman ini tentulah tidak sama kualitinya, ilmunya, waraknya dan lain-lain lagi, dibandingkan dengan ulama-ulama di zaman dahulu. Lebih-lebih lagi terlalu jauh bandingannya dengan ulama-ulama di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW. Kalau kita mengikut ulama sekarang yang katanya mengikut Al Quran dan Hadis sahaja, tanpa bersandar dengan mana-mana ulama mujtahidin, ertinya kita mengikut orang yang kurang ilmunya. Oleh kerana kurang ilmunya tentulah dia tidak mampu mengorek isi-isi yang tersirat dari Al Quran dan Hadis. Maka sewajiblah dia juga mengikut Imam-Imam Mazhab yang empat tadi.

Bersambung: (ii) 12 Dalil Mengapa Kita Bermadzhab

Mau Menghasilkan Uang Lewat Internet Yang Halal? Iya,.. itu jawaban setiap orang…. Untuk Lebih Jelasnya Klik Gambar Di Bawah Ini:

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s